
FARAHIDA (gambar kiri) yakin duta Himaya, Rozita (hambar kiri) dapat membantu Makna. FOTO Ihsan Makna
Kuala Lumpur: Pemilihan selebriti terkenal, Rozita Che Wan atau Che Ta diyakini mampu membangkitkan kesedaran orang ramai bagi menyumbang dana kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) yang kian berkurangan.
Difahamkan tempoh pandemik Covid-19 yang panjang menjejaskan kutipan dana Makna bagi membantu 10,000 pesakit kanser yang memerlukan bantuan kewangan.
Susulan itu, syarikat pengeluar pelitup muka, Himaya mengambil langkah proaktif membantu Makna menerusi penjualan amal, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kanser, bermula semalam.
Difahamkan sebanyak RM2 bagi setiap jualan produk itu akan disumbangkan terus kepada Makna.
Pengurus Besar Makna Farahida Mohd Farid mengakui dana sumbangan Makna terjejas sejurus negara dilanda wabak pandemik Covid-19.
"Kami dapat melihat penurunan dana sepanjang pandemik. Bagaimanapun, kami memahami kerana banyak individu yang terkesan dan kehilangan sumber pendapatan pada masa ini.
"Justeru kami amat bersyukur atas sumbangan syarikat Himaya dalam memastikan Makna mampu meneruskan bantuan kepada 10,000 pesakit kanser daripada golongan B40 yang menerima rawatan di hospital kerajaan setiap tahun," katanya.
Sehubungan dengan itu, pihaknya memerlukan jumlah kewangan yang besar kerana bantuan yang disalurkan akan diteruskan selama mana pesakit kanser menerima rawatan di hospital.
"Pemilihan Che Ta sebagai duta Himaya, kami berharap kesedaran dapat disebarkan dengan lebih meluas kerana beliau mempunyai pengikut yang ramai serta seorang yang sentiasa positif," katanya.
Sementara itu Pengasas Himaya, Datuk KK Chua berkata, usaha murni ini dijalankan berikutan pihaknya sedia maklum dengan keadaan penghidap kanser yang memerlukan bantuan, terutama ketika musim pandemik Covid-19 ini.
"Kita harus sedar kepahitan perjalanan hidup yang mereka hadapi bukan hanya daripada segi kewangan, bahkan juga persiapan mental penghidap kanser ini.
"Bersesuaian dengan tema kami #pinkberMAKNA, kami memilih untuk bekerjasama dengan Makna bagi meningkatkan kesedaran mengenai kanser serta pada masa yang sama dapat menyumbang kepada mereka yang memerlukan.
"Kempen ini berlangsung sehingga 31 Oktober, dan apa sahaja bentuk jualan daripada syarikat kami akan dermakan sebanyak RM2 kepada Makna," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Makna, Farahida Mohd Farid mengakui dana sumbangan MAKNA terjejas sejurus negara dilanda wabak pandemik Covid-19.
Sementara itu, sebagai Duta Himaya, Rozita Che Wan, berkata, dia amat menyokong penuh kerjasama yang dimeterai antara Himaya dan Makna ini.
"Bagi saya, kolaborasi seperti ini harus dipuji dan saya akan membantu selagi termampu bagi melariskan penjualan supaya lebih banyak dana diberikan kepada Makna," katanya.