MalaysiaKini : Bimbangkan anak, Che Ta enggan bekerja dengan pelakon belum divaksin


Bimbang keselamatan diri dan keluarga terancam, Rozita Che Wan bertegas dia tidak akan berlakon dengan mana-mana pelakon yang belum mengambil suntikan vaksin Covid-19.


Kata aktres yang mesra disapa Che Ta itu, dia enggan mengambil risiko berlakon di bawah produksi yang sama dengan individu sedemikian memandangkan masih mempunyai anak kecil di rumah.


“Saya tak nak berlakon dengan seseorang yang enggan ambil vaksin. Saya tak akan ambil risiko sebab ada anak masih kecil,”


“Pada pandangan saya, pelakon yang enggan ambil vaksin tapi mahu kembali bekerja tanpa fikirkan orang lain adalah tidak bertanggungjawab,” katanya.


Che Ta, 48, berkata demikian pada sidang media pengumuman pelantikannya sebagai Duta Himaya yang berlangsung secara maya hari ini.


Pelantikan pelakon itu juga seiring dengan Kempen Kutipan Dana bagi Bulan Kesedaran Kanser Payudara anjuran Himaya untuk Majlis Kanser Nasional (Makna) yang bermula semalam hingga 31 Oktober ini.


Terdahulu, pengarah dan penerbit drama Jinggo dan pelakon Fauziah Nawi menyatakan kegusaran mereka sekiranya kelonggaran penggambaran ditarik balik disebabkan ada produksi tidak mematuhi SOP dengan mengambil pelakon yang belum vaksin.


Pada masa sama, pelakon drama Kiah Pekasam itu berkata, setiap kru produksi perlu bertanggungjawab mematuhi syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan oleh mereka yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19.


“Produksi saya pun nak memulakan penggambaran tak lama lagi dan kami dimaklumkan semua pelakon terlebih dulu perlu lengkap divaksin.


“Lagipun kita kena ikut peraturan yang ditetapkan oleh MKN serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Tak naklah disebabkan seorang (yang tidak divaksin), orang lain pula tak boleh bekerja nanti,” katanya.


Che Ta turut membantah sekiranya ada produksi yang masih mengambil pelakon belum vaksin disebabkan mereka terikat dengan alasan kontrak.


“Tak tahu macam mana perkara macam tu boleh lepas (jika belum dapat dua dos suntikan vaksin) sebab produksi kena hantar senarai nama pelakon dan kru kepada Finas,” katanya lagi.


Sumber : https://m.malaysiakini.com/hiburan/590543